19 November 2011

wanita urat besi

kira-kira enam tahun lepas,ketika saya masih bersekolah,ditakdirkan saya agak rapat dengan seorang guru perempuan di situ.beliau ketika itu masih muda,cantik,ramah,sudah punya satu anak kecil berusia kira-kira 4 tahun setengah,dan beliau juga seorang janda.

satu hari saya berkunjung ke rumahnya,dan beliau menunjukkan saya album-album gambar lama,bermula dari zaman bayi sehinggalah ke sekolah,masuk kampus,dan akhirnya bekerja.di antara ratusan gambar-gambar itu,saya tertarik dengan sekeping gambar beliau,bersama seorang lelaki.masing-masing sedang senyum riang,di dalam jubah graduasi,sambil setiap seorang memegang jambang bunga.

'ini,bekas suami saya' jelas guru saya tadi,apabila beliau mendapati saya leka menatap gambar tersebut.saya jadi lebih tertarik.mereka kelihatan sangat bahagia,cocok,dan manis.

'kami bercinta sejak dari awal mula masuk universiti,dan kami berkahwin pada usia 19 tahun.ya,berkahwin di usia muda,atas dasar cinta.dulunya saya fikir,saya akan bahagia dengan pilihan hati saya.tapi sebenarnya hidup ini twisted

hening seketika.

'hanya selepas bernikah,baru saya ketahui bahwa bekas suami saya itu seorang yang panas baran.dia mula berani memukul saya apabila emosinya tidak stabil,dia tidak boleh di ajak berbincang.sampaikan pernah sekali saya pengsan,luka di kepala,dipukul bekas suami'

saya bungkam.tertanya tanya sendirian,bagaimana guru saya menghadapi situasi sesulit itu.
dia kemudian menyambung ;

'tapi bekas suami saya tu,selepas dia sedar dari gila-nya,selepas dia melihat saya meringkuk menahan sakit,baru-lah dia merayu meminta maaf,sapukan ubat di luka dan lebam-lebam saya,malah berjanji akan berubah'

saya angguk perlahan,menunggu plot cerita seterusnya

'namun kemudian,dia akan mengulangi lagi.pada satu malam,saya dimasukkan ke hospital akibat dipukul dia,lalu saya meminta cerai.dia merayu-rayu tidak mahu melepaskan saya.berjanji tidak akan memukul saya lagi.sehinggalah dia bersumpah,sekiranya dia memukul saya sekali lagi,maka akan jatuh-lah talak.'

'dan benar,tidak lama kemudian,peristiwa seperti itu berulang.saya menjadi janda setelah dua tahun bernikah dengannya,di usia 22 tahun.sebaik saja saya dipukul,saya terus menelefon ayah,dan saya katakan,saya sudah menjanda.semalaman saya menangis.tapi sekurang-kurangnya saya sudah bebas.dan syukur,mahkamah memberikan saya hak penjagaan anak.bekas suami saya hanya dibenarkan melawat anak kami di hujung minggu sahaja.'



guru saya menamatkan ceritanya dengan senyuman.

saya jadi kelu.ketika itu saya belum benar-benar mengerti tentang ketabahan wanita,tapi saya tahu,guru saya itu seorang yang kuat.

selepas tamat persekolahan,saya terputus hubungan dengan beliau.terakhir kali saya mendengar berita tentangnya,beliau sudah menetap di eropah,bersama suami barunya.sempat juga saya menelusur gambar-gambarnya di sana.kelihatan sangat bahagia dan menyenangkan.semoga mereka masih tetap dan akan berterusan bahagia.

dan hari ini,saya berada di usia yang hampir sama ketika guru saya menjadi seorang janda.jika beliau mampu menjadi cekal,menjadi wanita berurat besi,kenapa tidak saya ? apa yang dilalui oleh beliau berganda lebih berat berbanding situasi saya.sekarang saya kira,saya sudah mengerti maksud ketabahan wanita.cinta itu dapat jadi kelemahan seorang wanita,namun dapat juga menjadi kekuatan untuknya.